Tuesday, September 23, 2008

Majlis Berbuka Puasa dan Khatam Quran Bersama Anak Yatim

Posted by Majlis Tertinggi Kelab UMNO Jakarta |

Pada 20 september 2008, Kelab UMNO Jakarta (KUJ) menganjurkan Majlis Berbuka Puasa dan Khatam Al-Quran bersama anak-anak yatim di Santunan Keluarga Aisyiah, Grogol. Majlis berbuka puasa ini dihadiri oleh semua ahli jawatan kuasa tertinggi Kelab UMNO Jakarta dan seramai lebih kurang 150 orang pelajar Malaysia dari seluruh Univ. di Jakarta. Program ini dianjurkan untuk meraikan anak-anak yatim tersebut sekaligus beramah mesra sesama rakan-rakan di Jakarta ini.


Majlis yang dimulai dari jam 3.00 petang ini dimulakan dengan aktiviti permainan teka kata. Anak-anak yatim tersebut kelihatan sungguh gembira saat bermain bersama abang dan kakak pelajar-pelajar. Ada yang berpelukan sesama sendiri, bersorak iang menyokong kumpulan masing-masing, dan bergelak ketawa sesama mereka sepanjang aktiviti tersebut berlansung. Turut memeriahkan majlis adalah para pengurus Santunan Keluarga Aisyiah yang turut serta mengambil bahagian.
Antara tetamu jemputan yang turut hadir memberi sokongan pada program ini adalah En Anuar Zaki Bakar, Penasihat Kedutaan (Politik & Ekonomi) Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia dan Ustaz Tuan Ismail bin Tuan Abdullah, Atase Agama Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia. Majlis dimeriahkan lagi dengan acara persembahan Rawi dari anak-anak yatim Santunan Keluarga Aisyiah yang turut diiringi alat musik seperti gendang.

Selesai persembahan, program diteruskan dengan majlis Khatam Al-Quran. Majlis khatam Al-Quran ini dijayakan hasil kerjasama dengan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Cawangan Jakarta. Bacaan ayat suci Al Quran dari Surah An-Naba’ sehingga Surah An-Nas diketuai bacaannya secara bergilir oleh setiap wakil univ. yang terdapat di Jakarta.

Setelah selesai berbuka ringan dengan air dan kueh, semua peserta program menunaikan solat maghrib secara berjemaah bersama-sama. Majlis kemudiannya diteruskan dengan majlis berbuka puasa dan diiringi oleh persembahan nasyid dari pelajar Malaysia di Univ. UKRIDA. Majlis berakhir dengan sessi fotografi bersama anak-anak yatim. Syabas dan terima kasih diucapkan bagi semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.


0 comments: