
SEPANG: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, tiba hari ini untuk lawatan dua hari ke Malaysia, negara pertama yang dilawatinya selepas dipilih semula untuk penggal kedua pada 20 Oktober lalu.
Ketibaan beliau, bersama isteri, Ani Yudhoyono dan rombongannya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL disambut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sebagai menteri pengiring dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Susilo kemudian beredar ke Bangunan Parlimen untuk sambutan rasmi sebelum mengunjungi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.
Esok, beliau dijadual mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai isu-isu kepentingan bersama, serantau dan antarabangsa.
Susilo dijangka berlepas ke Singapura petang esok.
Sumber: Bernama
*Semoga hubungan Indonesia- Malaysia akan sentiasa harmoni dan seterusnya membawa kepada kebaikan semua pihak.
Presiden SBY Tiba di Malaysia
Pelancaran Rakan Muda IPT Jakarta
Pada tanggal 25 Oktober 2009 yang lepas, YB Dato’ Ahmad Shabery B. Cheek, Menteri Belia & Sukan Malaysia merangkap Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara (KULN) beserta rombongannya telah hadir ke Jakarta bagi mengadakan pelancaran Sekretariat Rakan Muda IPT Luar Negara. Tetamu kehormat yang turut hadir adalah Penasihat Perdana Menteri merangkap Bendahari KULN, YB Dato' Seri Shahidan B Kassim. Majlis yang yang diadakan di Hotel Park Lane, Jakarta tersebut telah dihadiri oleh kira–kira 80 orang mahasiswa universiti sekitar Jakarta.
Antara tetamu lain yang turut hadir pada malam tersebut adalah Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, En. Amran Mohd Zain, Pengarah JPMI, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar, Timb. Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia KBS, YBhg En. Mazrib Ibrahim, Ketua Pengarah Rakan Muda, Tuan Hj Salleh Ghazali, Ketua Bidang Antar Lembaga/Instansi Bulan Sabit Merah Indonesia, Dr. Fuadi Yatim dan Setiausaha Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara, YBhg En Shariff B Hamid.
Majlis bermula tepat jam 7.50 petang dengan nyanyian lagu Negaraku oleh semua hadirin. Kemudian majlis dilanjutkan dengan ucapan daripada Pengerusi Kelab UMNO Jakarta (KUJ), saudara Mohd Rizal B Abd Rahman. diikuti ucapan daripada Pengarah JPMI, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar.
Selain menyentuh tentang kelebihan belajar di Indonesia yang memberikan banyak manfaat pendedahan secara praktikal kepada seluruh pelajar di sini, saudara Rizal turut mengajak rakan-rakan untuk memecahkan sifat suka berkelompok di kalangan pelajar Malaysia kerana ia boleh menjejaskan pelbagai faedah yang seharusnya didapatkan ketika belajar di luar negara.
Majlis diteruskan dengan ucapan YB Dato’ Ahmad Shabery B. Cheek sekaligus merasmikan Sekretariat Rakan Muda IPT Luar Negara.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Menteri Belia dan Sukan tersebut banyak mengupas tentang kepentingan bagi mahasiswa Malaysia yang berada di luar negara untuk bergaul mesra dengan penduduk tempatan serta menggalakkan kegiatan berpersatuan di kalangan pelajar yang disifatkan sebagai nilai tambah penting seiring dengan hasrat negara mengirim pelajar ke luar negara dengan harapan mereka dapat memanfaatkan segala ilmu "on and off campus".
Ini penting bagi menghasilkan pelajar cemerlang yang terbaik dan cekal, seterusnya bersedia untuk memain peranan penting dalam pembangunan negara kelak. Memanfaatkan ilmu bantuan kecemasan oleh PBSM Indonesia bagi membolehkan mereka bersedia dengan apa jua keadaan sebagai seorang doktor di Malaysia nanti merupakan salah satu yang turut disarankan oleh YB Menteri.
Setelah itu, acara dilanjutkan dengan upacara menandatangani MoU antara Sekretariat Rakan Muda IPT yang baru saja dilancarkan tersebut dengan Instansi Bulan Sabit Merah Indonesia. Program pertama Sekretariat Rakan Muda IPT Jakarta ini menunjukkan keseriusan terhadap sokongan bagi penubuhan Sekretariat tersebut. Turut diadakan tayangan slide berkenaan aktiviti pelajar dan PBSM Indonesia di lokasi gempa bumi, Pengalengan, Jawa Barat.
Majlis dilanjutkan dengan acara penyerahan cek bantuan dan bahan promosi Rakan Muda daripada Kementerian Belia & Sukan melalui menterinya YB Dato’ Ahmad Shabery B Cheek kepada Pengarah JPMI, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar dan Pengerusi KUJ, saudara Mohd Rizal Abd Rahman.
Tepat jam 9 malam, majlis dilanjutkan dengan acara jamuan makan malam, acara persembahan pelajar, majlis ramah mesra serta sesi fotografi bersama YB Dato’ Ahmad Shabery B Cheek dan ahli rombongan yang hadir.
Para Pelajar Jakarta yang terdiri dari ahli Kelab UMNO Jakarta dan PKPMI Jakarta melaungkan '1Malaysia' bersama YB Dato' Ahmad Shabery dan YB Dato' Seri Shahidan Kassim
YAB Datuk Seri Najib Tun Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-6 tiba di Jakarta untuk lawatan kerja selama 2 hari.
Beliau yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir sebagai tetamu negara Indonesia bagi menghadiri istiadat perlantikan Bapak Susilo Bambang Yudhoyono sebagai Presiden Indonesia penggal baru.
Selain itu, YAB Datuk Seri Najib juga bakal mengadakan satu perjumpaan bersama teman sejawatnya dari Australia, Kevin Rudd.
Pengerusi Kelab UMNO Jakarta (KUJ), saudara Rizal Abd Rahman dan exco Media KUJ, saudara Shazni Afendi bersama-sama pegawai Kedutaan Besar Malaysia yang lain turut menyambut ketibaan YAB Perdana Menteri di hotel beliau menginap.
Dalam upacara sambutan ringkas tersebut, YAB Datuk Seri Najib telah meluangkan sedikit masa bersama saudara Rizal untuk membincangkan hal-hal semasa yang berlaku di Indonesia serta laporan tentang perjalanan aktiviti KUJ.
Turut hadir bersama rombongan YAB Perdana Menteri adalah Datuk Anifah Aman, Menteri Luar Malaysia merangkap Timbalan Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara.
Kami di Kelab UMNO Jakarta mewakili semua ahli mendoakan agar lawatan dan program YAB Perdana Menteri dan isteri di Jakarta berjalan lancar dan dirahmati Allah SWT.

Kelab UMNO Jakarta ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia (JPMI), Datuk Dr Junaidy Abu Bakar di atas penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka DMSM yang membawa gelaran Datuk.
Semoga penganugerahan ini akan memberi semangat baru untuk beliau meneruskan peranan penting JPMI dalam memastikan kebajikan dan kecemerlangan seluruh pelajar Malaysia di Indonesia terjamin.
Kami mendoakan agar karier Datuk Dr Junaidy akan terus bersinar. Tahniah!
Bantuan Mangsa Gempa Bumi di Padang
Sumbangan dan bantuan akan disalurkan kepada tabung bantuan mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera termasuklah para pelajar Malaysia yang turut sama terlibat di dalam bencana alam ini.
Kepada yang bersimpati dan ingin menghulurkan bantuan kemanusiaan ini bolehlah menghubungi Sekretariat KULN melalui:
Tel: 03-40447062
Fax: 03-40437279
Email: kelab_umno@yahoo.com
Sekian, harap maklum. Terima kasih.
Gempa Bumi di Padang, Indonesia
Kelab UMNO Jakarta ingin merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada semua mangsa dan keluarga mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat Indonesia baru-baru ini.
Kami sentiasa mendoakan agar Allah SWT akan sentiasa melindungi semua di sana dan berharap semua pihak akan mengharungi dugaan ini dengan tabah dan sabar.
InsyaAllah dalam masa terdekat ini bantuan dari pelbagai pihak yang prihatin akan segera sampai bagi meringankan lagi penderitaan mangsa gempa bumi di Padang.
Kelab Umno Jakarta
Kelab UMNO Luar Negara Cawangan Jakarta (KUJ) merupakan salah satu daripada 11 Kelab UMNO Luar Negara yang terdapat di republik Indonesia. KUJ telah ditubuhkan secara rasmi pada tarikh 15 Oktober 1988 di Wisma Malaysia. Majoriti ahli terdiri daripada para pelajar yang melanjutkan pelajaran mereka di Jakarta.
Banyak aktiviti atau program yang telah dijalankan yang bertujuan merapatkan hubungan khasnya sesama orang Melayu dan Bumiputera tidak kira apa jua perbezaan lain pada diri masing masing. Walaupun KUJ merupakan sebuah kelab yang berada di bawah naungan sebuah parti politik, namun aktiviti kelab ini tidak terikat kepada urusan yang bercorak politik semata-mata, tetapi lebih kepada perpaduan bangsa Melayu dan Malaysia di perantauan. Sesuai dengan organisasinya yang berbentuk kelab, KUJ sentiasa akan mengadakan program-program yang bersifat kebajikan, sosial, dan silaturrahim.
Majlis Tertinggi KUJ
Mohd Rizal B Abd Rahman
Timb. Pengerusi:
Mohd Khairul Anwar B Adan
Setiausaha:
Siti Nur Fathiah Bt Abd Raman
Bendahari:
Khairunnisa Bt Muhamad Zin
Ketua Penerangan:
Mohd Safuan B Mohamed
EXCO-EXCO KUJ
Aktiviti KUJ
2) Majlis Berbuka Puasa dan Khatam Quran Bersama Anak Yatim
3) Sahur On The Road 2008
4) Malam Sedondang Sayang
5) Kejohanan Badminton Berkumpulan Lelaki & Wanita
6) Malam Sanggar Mustika











