Tuesday, October 27, 2009

Pelancaran Rakan Muda IPT Jakarta

Posted by Majlis Tertinggi Kelab UMNO Jakarta |

Pada tanggal 25 Oktober 2009 yang lepas, YB Dato’ Ahmad Shabery B. Cheek, Menteri Belia & Sukan Malaysia merangkap Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara (KULN) beserta rombongannya telah hadir ke Jakarta bagi mengadakan pelancaran Sekretariat Rakan Muda IPT Luar Negara. Tetamu kehormat yang turut hadir adalah Penasihat Perdana Menteri merangkap Bendahari KULN, YB Dato' Seri Shahidan B Kassim. Majlis yang yang diadakan di Hotel Park Lane, Jakarta tersebut telah dihadiri oleh kira–kira 80 orang mahasiswa universiti sekitar Jakarta.

Antara tetamu lain yang turut hadir pada malam tersebut adalah Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, En. Amran Mohd Zain, Pengarah JPMI, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar, Timb. Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia KBS, YBhg En. Mazrib Ibrahim, Ketua Pengarah Rakan Muda, Tuan Hj Salleh Ghazali, Ketua Bidang Antar Lembaga/Instansi Bulan Sabit Merah Indonesia, Dr. Fuadi Yatim dan Setiausaha Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara, YBhg En Shariff B Hamid.

Majlis bermula tepat jam 7.50 petang dengan nyanyian lagu Negaraku oleh semua hadirin. Kemudian majlis dilanjutkan dengan ucapan daripada Pengerusi Kelab UMNO Jakarta (KUJ), saudara Mohd Rizal B Abd Rahman. diikuti ucapan daripada Pengarah JPMI, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar.

Selain menyentuh tentang kelebihan belajar di Indonesia yang memberikan banyak manfaat pendedahan secara praktikal kepada seluruh pelajar di sini, saudara Rizal turut mengajak rakan-rakan untuk memecahkan sifat suka berkelompok di kalangan pelajar Malaysia kerana ia boleh menjejaskan pelbagai faedah yang seharusnya didapatkan ketika belajar di luar negara.

Majlis diteruskan dengan ucapan YB Dato’ Ahmad Shabery B. Cheek sekaligus merasmikan Sekretariat Rakan Muda IPT Luar Negara.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Menteri Belia dan Sukan tersebut banyak mengupas tentang kepentingan bagi mahasiswa Malaysia yang berada di luar negara untuk bergaul mesra dengan penduduk tempatan serta menggalakkan kegiatan berpersatuan di kalangan pelajar yang disifatkan sebagai nilai tambah penting seiring dengan hasrat negara mengirim pelajar ke luar negara dengan harapan mereka dapat memanfaatkan segala ilmu "on and off campus".

Ini penting bagi menghasilkan pelajar cemerlang yang terbaik dan cekal, seterusnya bersedia untuk memain peranan penting dalam pembangunan negara kelak. Memanfaatkan ilmu bantuan kecemasan oleh PBSM Indonesia bagi membolehkan mereka bersedia dengan apa jua keadaan sebagai seorang doktor di Malaysia nanti merupakan salah satu yang turut disarankan oleh YB Menteri.

Setelah itu, acara dilanjutkan dengan upacara menandatangani MoU antara Sekretariat Rakan Muda IPT yang baru saja dilancarkan tersebut dengan Instansi Bulan Sabit Merah Indonesia. Program pertama Sekretariat Rakan Muda IPT Jakarta ini menunjukkan keseriusan terhadap sokongan bagi penubuhan Sekretariat tersebut. Turut diadakan tayangan slide berkenaan aktiviti pelajar dan PBSM Indonesia di lokasi gempa bumi, Pengalengan, Jawa Barat.

Majlis dilanjutkan dengan acara penyerahan cek bantuan dan bahan promosi Rakan Muda daripada Kementerian Belia & Sukan melalui menterinya YB Dato’ Ahmad Shabery B Cheek kepada Pengarah JPMI, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar dan Pengerusi KUJ, saudara Mohd Rizal Abd Rahman.

Tepat jam 9 malam, majlis dilanjutkan dengan acara jamuan makan malam, acara persembahan pelajar, majlis ramah mesra serta sesi fotografi bersama YB Dato’ Ahmad Shabery B Cheek dan ahli rombongan yang hadir.

Para Pelajar Jakarta yang terdiri dari ahli Kelab UMNO Jakarta dan PKPMI Jakarta melaungkan '1Malaysia' bersama YB Dato' Ahmad Shabery dan YB Dato' Seri Shahidan Kassim

Tuesday, October 20, 2009

Lawatan PM ke Jakarta

Posted by Majlis Tertinggi Kelab UMNO Jakarta |



YAB Datuk Seri Najib Tun Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-6 tiba di Jakarta untuk lawatan kerja selama 2 hari.

Beliau yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir sebagai tetamu negara Indonesia bagi menghadiri istiadat perlantikan Bapak Susilo Bambang Yudhoyono sebagai Presiden Indonesia penggal baru.

Selain itu, YAB Datuk Seri Najib juga bakal mengadakan satu perjumpaan bersama teman sejawatnya dari Australia, Kevin Rudd.

Pengerusi Kelab UMNO Jakarta (KUJ), saudara Rizal Abd Rahman dan exco Media KUJ, saudara Shazni Afendi bersama-sama pegawai Kedutaan Besar Malaysia yang lain turut menyambut ketibaan YAB Perdana Menteri di hotel beliau menginap.

Dalam upacara sambutan ringkas tersebut, YAB Datuk Seri Najib telah meluangkan sedikit masa bersama saudara Rizal untuk membincangkan hal-hal semasa yang berlaku di Indonesia serta laporan tentang perjalanan aktiviti KUJ.

Turut hadir bersama rombongan YAB Perdana Menteri adalah Datuk Anifah Aman, Menteri Luar Malaysia merangkap Timbalan Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara.

Kami di Kelab UMNO Jakarta mewakili semua ahli mendoakan agar lawatan dan program YAB Perdana Menteri dan isteri di Jakarta berjalan lancar dan dirahmati Allah SWT.

Sunday, October 11, 2009

Tahniah

Posted by Majlis Tertinggi Kelab UMNO Jakarta |


Kelab UMNO Jakarta ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia (JPMI), Datuk Dr Junaidy Abu Bakar di atas penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka DMSM yang membawa gelaran Datuk.

Semoga penganugerahan ini akan memberi semangat baru untuk beliau meneruskan peranan penting JPMI dalam memastikan kebajikan dan kecemerlangan seluruh pelajar Malaysia di Indonesia terjamin.

Kami mendoakan agar karier Datuk Dr Junaidy akan terus bersinar. Tahniah!

Thursday, October 8, 2009

Bantuan Mangsa Gempa Bumi di Padang

Posted by Majlis Tertinggi Kelab UMNO Jakarta |



Berikutan kejadian gempa bumi di Padang, Sumatera, Indonesia baru-baru ini, pihak Sekretariat mengharapkan kerjasama rakyat Malaysia di luar negara terutamanya ahli-ahli kelab UMNO supaya turut menghulurkan bantuan bagi meringankan penderitaan mangsa-mangsa.

Sumbangan dan bantuan akan disalurkan kepada tabung bantuan mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera termasuklah para pelajar Malaysia yang turut sama terlibat di dalam bencana alam ini.

Kepada yang bersimpati dan ingin menghulurkan bantuan kemanusiaan ini bolehlah menghubungi Sekretariat KULN melalui:

Tel: 03-40447062
Fax: 03-40437279
Email: kelab_umno@yahoo.com

Sekian, harap maklum. Terima kasih.

Saturday, October 3, 2009

Gempa Bumi di Padang, Indonesia

Posted by Majlis Tertinggi Kelab UMNO Jakarta |

(Gambar dari AP)

Kelab UMNO Jakarta ingin merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada semua mangsa dan keluarga mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat Indonesia baru-baru ini.

Kami sentiasa mendoakan agar Allah SWT akan sentiasa melindungi semua di sana dan berharap semua pihak akan mengharungi dugaan ini dengan tabah dan sabar.

InsyaAllah dalam masa terdekat ini bantuan dari pelbagai pihak yang prihatin akan segera sampai bagi meringankan lagi penderitaan mangsa gempa bumi di Padang.