1. Pada tanggal 16 November 2010 yang lalu, Kelab Umno Jakarta yang diwakili oleh Presiden Muhammad Hamidie , Setiausaha Farizza Khairil, dan Exco KUJ, Syazuwani Abdul Rahman dan Munzir Mohamad Rani Dali telah berkunjung ke sebuah Yayasan Anak Yatim Nurul Iman yang terletak di Manggarai.
2. Tujuan kami berkunjung ke yayasan tersebut tidak lain hanya untuk membantu meringankan beban dan berkongsi simpati anak-anak yatim. Dalam usaha kami memberi bantuan kepada yayasan ini, terlebih dahulu kami telah membuka satu peluang kepada pelajar-pelajar di semua universitas di Indonesia di mana kami mengumpul sebarang barang keperluan harian yang masih elok dan boleh digunakan dengan baik. Barang yang telah dikumpul akan dihulurkan sebagai bantuan dari pelajar-pelajar Malaysia melalui Kelab Umno Jakarta. Segala bantuan telah dikumpulkan dari wakil-wakil KUJ dari universitas masing-masing.
3. Dalam usaha mengumpulkan barang-barang tersebut, kami telah berjaya mengumpulkan sejumlah besar pakaian-pakaian, alat tulis, makanan dan beg yang masih boleh digunakan dan telah kami hulurkan kepada yayasan tersebut.
4. Setibanya kami di yayasan tersebut, kami telah disambut dengan meriah oleh penghuni-penghuni rumah anak yatim itu. Mereka sangat senang dengan kunjungan kami. Kami telah disambut oleh Ketua Yayasan Anak Yatim Nurul Iman Ibu Hajjah Ummi Naiyah dan kami telah menemuramah beberapa perkara tentang yayasan anak yatim itu.
5. Di sini KUJ ingin berkongsi beberapa pengalaman selama berada di yayasan anak yatim itu. Dari segi keselesaan penghuni anak yatim itu, mereka yang terdiri dari lebih 70 orang terpaksa tinggal di dalam rumah yang boleh dikategorikan sebagai kurang selesa. Dari pakaian penghuni-penghuni itu, jelas kita dapat tahu bahwa mereka tidak mempunyai pakaian yang mencukupi kerana pakaian yang telah lusuh dan koyak.
Tentang jadual makanan mereka, kami sempat bertanya pada seorang anak yatim. Dia mengatakan bahwa anak-anak yatim itu diberi duit untuk makan 3 kali sehari. Dia menerima duit Rp2000 untuk waktu makan selapas subuh, Rp3000 untuk makan selepas zuhur dan terakhir Rp3000 untuk makan selepas Isya. Salah seorang daripada mereka memotong perbualan kami dengan mengatakan lauk mereka selalunya adalah tempe.
6. Dalam kesempatan kunjungan kami pada kali ini, yang masih dalam semangat Aidiladha, KUJ ingin mengajak kalian tuan/puan, mahasiswa, dan bloggers sekalian agar kita sama-sama menghayati makna sebenarnya pengorbanan, kesyukuran dan keikhlasan dari sambutan Raya Aidiladha ini. Moga kita semua dapat meningkatkan kejayaan dan kemajuan diri, seterusnya menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara kita, Malaysia.
7. Akhir sekali, di sini terdapat beberapa gambar sepanjang kunjungan kami ke rumah anak yatim itu.