Saturday, December 20, 2008

MALAYSIA

Posted by Majlis Tertinggi Kelab UMNO Jakarta |

Uji HIV pada pengantin semua kaum
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT



KUALA LUMPUR 19 Dis. – Peraturan mewajibkan ujian saringan HIV sebelum berkahwin perlu diperluaskan kepada semua warganegara tanpa mengira agama bagi memastikan generasi akan datang bebas daripada penyakit bahaya itu.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian berkata, ujian itu sememangnya boleh dilakukan terhadap semua kaum untuk kebaikan jangka panjang selain memelihara genetik keluarga.

Beliau berkata, ujian tersebut juga tidak akan menafikan hak individu yang ingin berkahwin sekiranya mereka didapati positif HIV.

‘‘HIV adalah virus permulaan kepada proses sekiranya seseorang itu dijangkiti AIDS. Apa salahnya kita membuat ujian itu sebelum berkahwin seperti pemeriksaan kesihatan.

‘‘Sekiranya pelaksanaan dasar itu merangkumi semua warganegara termasuk yang bukan Islam, ia sekali gus dapat menjadikan negara kita ini bebas daripada masalah penyakit itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mewajibkan semua bakal pengantin beragama Islam menjalani ujian saringan HIV bermula tahun depan.

Beliau berkata, semua negeri juga akan mewajibkan ujian itu sebagai sebahagian daripada program praperkahwinan selaras dengan usaha mengurangkan jangkitan HIV terutamanya kepada wanita yang kini menunjukkan peningkatan.

Sivamurugan percaya masyarakat majmuk di negara ini akan lebih memahami kebaikan peraturan tersebut sekiranya pemimpin persatuan agama dan golongan berpengaruh bagi setiap kaum memainkan peranan memberi penerangan.

‘‘Contohnya, pemimpin Persatuan Hindu Sanggam dan Buddha perlu diberikan taklimat tentang kelebihan menjalankan ujian itu. Penerangan itu juga perlu berterusan agar minat bakal pengantin tidak bermusim,'' ujarnya.

Kesihatan

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Sosial Gunaan, Open University Malaysia (OUM), Prof. Dr. Mohamed Yusof Ismail berkata, ujian saringan HIV perlu dilakukan kepada semua kaum kerana ia melibatkan soal kesihatan dalam negara.

Katanya, Malaysia akan lemah sekiranya mempunyai penduduk yang mempunyai penyakit berbahaya dan boleh mengakibatkan kematian.

‘‘Kita tahu sudah pasti ada yang membantah dasar itu dengan pelbagai alasan seperti kosnya yang tinggi dan kesan psikologi sekiranya orang lain tahu tentang penyakitnya itu,” ujarnya.
Katanya, pendaftar perkahwinan juga perlu memainkan peranan dengan menasihati bakal pengantin melakukan ujian HIV agar mereka lebih memahami tentang penyakit yang mengancam nyawa itu.



Sumber: Utusan.com.my

0 comments: