Wednesday, August 5, 2009

Pakar Perubatan Malaysia

Posted by Majlis Tertinggi Kelab UMNO Jakarta |

DOKTOR perlu memantapkan penguasaan kemahiran untuk bergelar pakar.

Doktor perlu tingkat kepakaran capai nisbah keperluan negara maju 1:600

KEKURANGAN doktor pakar semakin serius, penduduk negara pula terus meningkat. Keadaan itu menuntut lebih ramai doktor pakar dalam pelbagai bidang. Ikuti pandangan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga Dekan Fakulti Perubatan universiti itu, Prof Datuk Dr Lokman Saim, mengenai perkara itu seperti disampaikan kepada wartawan pendidikan, Berita Harian, Norliza Abdullah.

SEBELUM bergelar doktor, pelajar bidang berkenaan perlu mengikuti program ijazah pertama dalam tempoh ditetapkan. Bagaimanapun, gelaran itu tidak mencukupi kerana mereka perlu terus meningkatkan kemahiran dan kepakaran.

Bagi mendapatkan kepakaran dalam bidang tertentu, contohnya Surgeri, Obstetrik & Ginekologi, Ortopedik, Pediatrik, Patologi dan Otorinolaringlogi, mereka perlu mengikuti kursus klinikal dalam tempoh tertentu, selain kuliah serta menyiapkan tugasan tambahan sebelum layak diiktiraf sebagai doktor pakar.

Senario sekarang, ramai doktor perubatan yang memiliki ijazah pertama berhenti berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan selepas tamat tempoh wajib lima tahun, antara lain kerana membuka klinik persendirian.

Keadaan itu tidak menyumbang kepada usaha memberi perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat secara menyeluruh kerana antaranya peralatan di klinik persendirian tidak memungkinkan mereka membuat banyak rawatan walaupun terlatih.

Jika keadaan ini berlarutan, bukan saja bilangan doktor dalam sektor awam semakin berkurangan, malah kekurangan doktor pakar semakin meruncing.

Sehubungan itu, wajar jika kerajaan mengubah polisi sedia ada supaya doktor tidak digalakkan berkhidmat di klinik persendirian.

Selain itu, kerajaan perlu mencadangkan supaya lebih ramai pengamal perubatan beroperasi di klinik persendirian lebih lengkap peralatan merawat dan menawarkan perkhidmatan berkualiti.

Perlu juga ditetapkan supaya doktor bercadang berkhidmat secara persendirian perlu mendapatkan pengiktirafan sebagai doktor pakar, contohnya dalam bidang perubatan keluarga atau kesihatan awam.

Dengan polisi sedemikian, lebih ramai doktor perubatan meningkatkan kemahiran serta pengetahuan mereka dan membuat kepakaran dalam pelbagai bidang.

Selain itu, pelajar perempuan di institusi pengajian tinggi lebih ramai juga penyebab senario itu kerana sebahagian mereka tidak meneruskan usaha hingga peringkat pakar berikutan pelbagai kekangan, antaranya tanggungjawab keluarga.

Faktor itu mungkin menyebabkan kurang pakar di kalangan wanita, bagaimanapun doktor lelaki yang lebih anjal tugasnya di rumah boleh memberi perhatian penuh di tempat kerja dan meningkatkan kepakaran bagi menambah bilangan doktor pakar.

Begitu juga dengan kerjasama universiti menawarkan program kepakaran, mereka perlu memberi lebih banyak tempat latihan kepada golongan ini.

Setakat ini, sekitar 400 tempat disediakan setahun sedangkan mereka yang menamatkan pengajian dalam tempoh berkenaan seramai 2,000 orang.

Kekurangan doktor pakar terus kritikal juga antara lain kerana menyertai swasta dengan alasan tawaran gaji yang lumayan.

Ganjaran pada kadar lima hingga enam kali ganda berbanding di hospital kerajaan adalah antara faktor utama menyebabkan mereka beralih angin menyertai swasta.

Nisbah yang tidak seimbang menyebabkan doktor pakar di hospital kerajaan terpaksa merawat ramai pesakit, sedangkan di hospital swasta sebaliknya.

Sebagai contoh, kini kita ada cuma 250 pakar ORL dan jumlah ini tidak mencukupi terutama bagi merawat pesakit di hospital kerajaan.

Setiap tahun hanya 15 doktor perubatan menjalani latihan pakar ORL dan jumlah itu begitu kecil dan perlu ditingkatkan bagi memenuhi keperluan semasa.

Pakar perlu memegang prinsip menyediakan perkhidmatan rawatan berkualiti, beretika, selamat dan meyakinkan pesakit, selain sedia meluangkan masa menawarkan khidmat rundingan supaya pelanggan mereka selesa ketika menerima rawatan.

Walaupun tugasan dilihat sebagai asas, perkhidmatan diberikan doktor pakar berbeza berbanding doktor biasa kerana mereka berpengalaman dan pengetahuan tambahan dikongsi sepanjang tempoh rawatan.

Malah doktor pakar lebih berwibawa kerana pengetahuan yang tinggi menjadi sandaran pesakit menaruh kepercayaan penuh terhadap mereka.

Kepakaran sesuatu bidang penting dalam meningkatkan kerjaya serta hala tuju seseorang doktor pada masa depan.

Pengkhususan membolehkan mereka menguasai kepakaran sesuatu bidang, selain mengatasi keperluan doktor pakar kini dengan nisbah 1:2000, sedangkan untuk menjadi negara maju, nisbah diperlukan 1:600.

(Sumber: Bharian.com.my)

0 comments: