Tuesday, September 23, 2008

Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Pengajian Tinggi Malaysia

Posted by Majlis Tertinggi Kelab UMNO Jakarta |

Pada 21hb September 2008 yang lalu, Kelab UMNO Jakarta bersama seluruh pelajar Malaysia di Jakarta telah berbesar hati menerima lawatan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled B Nordin ke Jakarta, Indonesia. Ini merupakan lawatan rasmi pertama YB Dato’ Seri sejak beliau memegang jawatan baru dalam kabinet iaitu sebagai Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.


Seramai hampir 600 orang pelajar hadir dalam majlis buka puasa bersama beliau yang diadakan di Hotel Sahid Jaya, Jakarta Pusat. Selain pelajar, para pegawai kerajaan dan sektor swasta serta golongan profesional turut hadir untuk bersama-sama dalam majlis tersebut.

Selain mengingatkan para pelajar tentang objektif utama pelaburan negara menaja pelajar-pelajar Malaysia untuk belajar di luar negara, YB Dato Seri dalam ucapannya sempat menyentuh isu-isu politik semasa tahahair dan memberi keyakinan bahawa kerajaan sedang melakukan yang terbaik buat negara. Selain itu, YB Dato’ Seri juga menyeru orang ramai supaya jangan terpengaruh dengan pembohongan dan taktik-taktik licik pihak pembankang dalam mengelirukan rakyat dan cuba merosak kesejahteraan semata-mata kerana kepentingan politik mereka.

YB Dato’ Seri sempat beramah mesra dengan warga-warga Malaysia yang terdiri daripada golongan pelajar dan profesional sambil menjamu selera. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Terutama Dato’ Zainal Abidin Zain, Duta Besar Malaysia di Indonesia, En Hazmi Hussein, Presiden Malaysia Club Jakarta, Ahmad Nabieh, YDP Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Jakarta, Mohd Rizal B Abd Rahman, Presiden Kelab UMNO Jakarta dan Mohd Feendi Mohd Fauzi Yap, Presiden Kelab UMNO Bandung.

Sejurus selepas jamuan makan, YB Dato’ Seri Khaled Nordin mengadakan pertemuan tertutup bersama seluruh AJK Kelab UMNO Jakarta dan Kelab UMNO Bandung. Selepas menyuntik kata-kata semangat dalam perjuangan kelab UMNO dan Melayu, YB Dato Seri juga sempat mendengar pendapat- pendapat dari presiden serta wakil-wakil Kelab UMNO Jakarta dan Kelab UMNO Bandung tentang masalah yang dihadapi mereka di Indonesia serta perkembangan terkini di tanahair.

Kelab UMNOJakarta mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kesudian YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin atas kesudian beliau meluangkan masa dengan seluruh pelajar Malaysia serta wakil-wakil kelab yang berada di Jakarta.

0 comments: