Thursday, June 25, 2009

Makan Malam bersama YB Dato Seri Ismail Sabri B Yaakob

Posted by Majlis Tertinggi Kelab UMNO Jakarta |



Pada 19 Jun 2009 yang lalu, satu majlis makan malam telah diadakan untuk meraikan kedatangan YB Dato Seri Ismail Sabri B Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia. Makan malam yang disertai oleh lebih 50 org pelajar Malaysia di Jakarta ini telah diadakan di Rumah Makan Minang Natrabu, Sabang.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Hj Ahmad Shalimin Hj Ahmad Shafie, Ketua UMNO Bahagian Taiping, En Daud B Tahir, Timbalan Ketua Setiausaha, KPDNKK, saudara Zailani Shariff, YDP PKPMI Jakarta, pengusaha-pengusaha franchise Malaysia, serta beberapa pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Selepas ucapan pengenalan tentang latar belakang, statistik terkini dan cabaran semasa yang dihadapi oleh para pelajar Malaysia di Jakarta, Ketua Kelab UMNO Jakarta, saudara Rizal Abd Rahman turut menyentuh tentang beberapa masalah utama persatuan pelajar Malaysia khususnya terhadap masalah lambatnya proses ubah suai Wisma Malaysia.

Selain menyulitkan persatuan pelajar untuk menjalankan aktiviti kerana wisma diguna pakai sebagai tempat para pelajar berkumpul, apa yang lebih membimbangkan ialah para pelajar kehilangan tempat berlindung sekiranya suatu musibah yang tidak diingini berlaku.

YB Dato' Seri Ismail Sabri menyambut baik ucapan dari saudara Rizal dan berjanji akan membawa perkara tersebut ke pihak berkenaan supaya dapat segera ditangani.

Dalam ucapannya, beliau banyak menyentuh tentang keprihatinan kerajaan terhadap rakyat Malaysia, khususnya para pelajar di luar negara. Beliau juga menasihati para pelajar supaya sentiasa menjaga nama baik negara serta berusaha memelihara hubungan baik antara negara Malaysia dan Indonesia.

Pelajar, warga Malaysia yang teramai di republik ini bertindak sebagai duta kecil yang paling efektif dalam mencerminkan rakyat dan negara Malaysia seterusnya jika perlu mereka boleh mengambil peluang untuk menjelaskan perkara sebenar berkenaan apa yang berlaku di Malaysia.

Sebagai contoh, isu penganiyaan pembantu rumah yang melibatkan rakyat Indoesia turut dikecam sekeras-kerasnya oleh rakyat Malaysia sendiri.

Majlis berakhir kira-kira jam 10 malam dengan satu sesi fotografi para pelajar bersama Yang Berhormat Menteri.

0 comments: