Sunday, September 13, 2009

Pertemuan Muhibbah Malaysia- Indonesia

Posted by Majlis Tertinggi Kelab UMNO Jakarta |

Laporan Pertemuan Muhibbah Pemimpin Mahasiswa Malaysia-Indonesia

Pada tanggal 11 September 2009, sebuah pertemuan yang sangat signifikan antara perwakilan mahasiswa dari Malaysia dan Indonesia telah berjaya diadakan bertempat di The Park Lane Hotel, Jakarta. Majlis ini dihadiri oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia (JPMI), Dr. Junaidy Abu Bakar, Pengarah MARA Indonesia, Pn. Nor Uyon Syuib, Penolong Pengarah MARA Indonesia, En. Jafri, Warden Malaysia, En. Azman, wakil-wakil dari Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM) dari Universitas Indonesia (UI), Universitas Trisakti (USAKTI), Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah (UIN) dan Universitas Kristen Krida Wacana (UKRIDA) beserta perwakilan dari Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI-CJ) dan Kelab UMNO Jakarta (KUJ).

Pertemuan Muhibbah ini telah diadakan bertujuan untuk menjalinkan silaturrahim di antara pemimpin mahasiswa Indonesia dengan pemimpin mahasiswa Malaysia. Disamping itu, pertemuan ini juga bertindak sebagai medium untuk perwakilan mahasiswa bertukar pendapat dan cadangan untuk meningkatkan hubungan baik antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia. Pertemuan ini telah mendapat dukungan yang sepenuhnya daripada Pengarah JPMI, Dr Junaidi Abu Bakar untuk dijayakan.

Majlis dimulai dengan sesi perkenalan ringkas daripada setiap BEM universiti seterusnya dilanjutkan dengan ucapan daripada Pengarah MARA Indonesia, Pn. Nor Uyon Shuib dan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Dr Junaidy Abu Bakar. Antara isi ucapan Dr Junaidy ialah supaya organisasi formal yang terdiri dari gabungan pemimpin mahasiswa Malaysia-Indonesia dapat dibentuk untuk memudahkan segala penyusunan dan rencana aktiviti di masa akan datang. Selain itu, pihak kedutaan juga akan memberikan peruntukan kewangan untuk aktiviti yang dijalankan dibawah organisasi tersebut. Beliau juga mengingatkan pentingnya pendidikan sebagai alat perpaduan di antara mahasiswa Malaysia-Indonesia. Dalam masa yang sama beliau menyampaikan kekecewaan peristiwa yang berlaku di Jogjakarta di mana pusat pengajian dijadikan lokasi tunjuk perasaan anti-Malaysia dan beliau berharap pakatan muhibbah di Jakarta menjadi teladan dan contoh baik bagi bandar-bandar lain.

Setelah itu, majlis pertemuan muhibbah tersebut dilanjutkan dengan sesi soal jawab dan dialog ringkas antara perwakilan yang hadir dengan Pengarah JPMI, Dr. Junaidy daripada isu-isu semasa yang hangat dipermainkan di media Indonesia ketika ini seperti isu Tarian Pendet, isu Malaysia klaim Pulau Jemur, isu lagu Negaraku sehinggalah kepada masalah yang berkaitan mahasiswa Malaysia di universitas.

Majlis diteruskan dengan sesi temuramah stesyen TV3 bersama Pengarah JPMI, wakil Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM), PKPMI dan KUJ. Pada majlis ini juga, satu komiti jawatankuasa ikatan mahasiswa Malaysia – Indonesia berjaya ditubuhkan dengan diberi nama Indonesia-Malaysian Students’ Association.

Majlis berakhir jam 10.45 malam dengan sesi penyampaian hadiah dan sesi fotografi bersama semua perwakilan yang hadir.

0 comments: