Wednesday, January 27, 2010

Negara Masih Kekurangan Doktor

Posted by Majlis Tertinggi Kelab UMNO Jakarta |

Tempoh perkhidmatan wajib doktor dalam kerajaan dicadang dilanjutkan sehingga lima atau 10 tahun, berbanding tiga tahun pada masa ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah.

Beliau berkata, cadangan itu bertujuan mengatasi masalah kekurangan doktor di hospital kerajaan yang berlaku saban tahun.

Pada tahun lalu, katanya, negara menghadapi masalah kekurangan doktor seramai 5,000 orang.

"Tiap-tiap tahun kita ada masalah kekurangan doktor kerana mereka ini hanya berkhidmat dengan kerajaan selama lima tahun, iaitu dua tahun untuk housemanship (latihan) dan tiga tahun untuk perkhidmatan wajib, dan selepas itu mereka tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan.

Perlu ada mekanisme baru

"Sistem ini digunapakai sejak 1971, maka kita perlu ada mekanisme baru untuk menyelesaikan masalah ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Putrajaya hari ini.

Murugiah berkata, jika cadangan itu direalisasikan, doktor akan dapat menimba lebih pengalaman sebelum berkhidmat dengan syarikat swasta atau membuka praktis mereka sendiri selepas itu.

"Doktor tidak patut hanya memikirkan mengenai keuntungan, mereka juga harus berfikir mengenai kepentingan negara, sumbangan mereka kepada negara," katanya.

Murugiah berkata, cadangan sama boleh digunapakai untuk bidang-bidang lain yang turut mengalami kekurangan penjawat termasuk doktor gigi dan ahli farmasi.

Bagaimanapun, beliau berkata terserah kepada Kementerian Kesihatan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk membincangkan cadangan itu dan memutuskannya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata bagi tahun lalu, kerajaan melantik seramai 50,756 penjawat awam termasuk calon latihan separa perubatan melebihi sasaran yang diletakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, iaitu 50,000 lantikan.

"Sebanyak 7,785,262 permohonan diterima, dengan 358,366 pemohon dipanggil temuduga tetapi hanya 199,660 hadir untuk ditemuduga, katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah.

- Bernama

(Sumber: Malaysiakini.com)

0 comments: