Monday, September 15, 2008

Majlis Berbuka Puasa dan Khatam Al Quran bersama Anak Yatim

Posted by Majlis Tertinggi Kelab UMNO Jakarta |

Sempena menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini, antara program yang dikelola oleh Kelab UMNO Jakarta adalah program Sahur On the Road dan Majlis Berbuka Puasa dan Khatam Quran bersama Anak Yatim. Ini adalah satu program amal yang dianjurkan bagi mengurangi beban mereka yang memerlukan bantuan di bulan mulia ini.

Sahur on The Road anjuran kelab kami adalah satu program dimana kami berusaha mengumpulkan dana dalam bentuk derma dan jualan amal bagi menampung pembelanjaan membeli dan mendistribusi juadah puasa untuk orang-orang miskin homeless di sekitar kota Jakarta. Juadah sahur tersebut akan dibuat dalam bentuk nasi bungkus dan akan diberikan dibeberapa lokasi tertentu yang telahpun dikenalpasti.

Selain jualan amal, kami juga akan mendistribusi tabung derma ke setiap univ. agar pelajar-pelajar dapat mengambil bahagian dalam program mulia ini selain menampung usaha pengumpulan dana tersebut.

Program mendistribusi makanan juadah sahur yang bakal dijalankan pada 20 September 2008 ini juga akan mendapat liputan khas dari wakil Utusan Malaysia untuk dimuatkan dalam rancangan TV dan akhbar di Malaysia.

Selain itu, satu majlis amal Berbuka Puasa dan Majlis Khatam Al- Quran bersama anak yatim juga akan diadakan pada tarikh yang sama, iaitu pada malam 20 September 2008, bertempat di Panti Asuhan Aisyiah, Grogol. Majlis ini akan disertai oleh hampir keseluruhan wakil setiap univ. di Jakarta (sekitar 150 pelajar) bagi meraikan anak-anak yatim.

Pelbagai aturcara telahpun diatur seperti jamuan berbuka puasa, persembahan dari wakil-wakil univ. Jakarta, persembahan khas Marawis dari Rumah Anak Yatim, nasyid, dan sebagainya. Turut akan diadakan pada malam tersebut ialah program Khatam Al Quran dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) cawangan Jakarta.

Maklumat lanjut tentang majlis ini sila hubungi Exco Kebajikan dan Agama kami iaitu saudara Hazmuhaimin (Trisakti) 08176699704; atau saudari Nurhidayah (Univ. Prof Moestopo) 08081808494389. Semua dijemput hadir bagi memeriahkan suasana.

0 comments: