Saturday, September 5, 2009

Pelajar Malaysia Bantu Mangsa Gempa Indonesia

Posted by Majlis Tertinggi Kelab UMNO Jakarta |


KUALA LUMPUR: Sekumpulan 30 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar perubatan dari Malaysia yang menuntut di beberapa buah universiti di Indonesia sudah digerakkan bagi membantu mangsa gempa bumi yang berlaku di pulau Jawa pada Rabu lalu yang setakat ini mengorbankan lebih 60 orang dan mencederakan 400 yang lain.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata penubuhan pasukan sukarelawan itu atas inisiatif Kelab Umno Luar Negara dengan kerjasama Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Dalam satu kenyataan di sini, beliau berkata, pasukan itu yang diketuai Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Dr Junaidi Abu Bakar, sudah membuat persiapan kelengkapan serta barangan dan sudah mula bergerak ke kawasan bencana itu di Pengalengan Jawa barat, hari ini.

"Mereka akan memberikan bantuan makanan dan pakaian serta menyediakan juadah berbuka puasa kepada mangsa di kawasan terbabit selain membuat tinjauan dan penelitian bagi menentukan bantuan selanjutnya yang boleh dihulurkan kepada mangsa," katanya yang juga Pengerusi Kelab Umno Luar Negara.

Beliau berkata, program itu adalah sebagai pendedahan kepada pelajar berkenaan untuk memberi khidmat kesukarelawan kepada penduduk yang terbabit dengan bencana alam.

Menurut pihak berkuasa Indonesia, gempa bumi pada magnitud 7.3 skala Richter itu memusnahkan lebih 87,000 buah rumah. - Bernama

Sumber: www.bharian.com.my

0 comments: