Tuesday, October 27, 2009

Pelancaran Rakan Muda IPT Jakarta

Posted by Majlis Tertinggi Kelab UMNO Jakarta |

Pada tanggal 25 Oktober 2009 yang lepas, YB Dato’ Ahmad Shabery B. Cheek, Menteri Belia & Sukan Malaysia merangkap Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara (KULN) beserta rombongannya telah hadir ke Jakarta bagi mengadakan pelancaran Sekretariat Rakan Muda IPT Luar Negara. Tetamu kehormat yang turut hadir adalah Penasihat Perdana Menteri merangkap Bendahari KULN, YB Dato' Seri Shahidan B Kassim. Majlis yang yang diadakan di Hotel Park Lane, Jakarta tersebut telah dihadiri oleh kira–kira 80 orang mahasiswa universiti sekitar Jakarta.

Antara tetamu lain yang turut hadir pada malam tersebut adalah Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, En. Amran Mohd Zain, Pengarah JPMI, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar, Timb. Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia KBS, YBhg En. Mazrib Ibrahim, Ketua Pengarah Rakan Muda, Tuan Hj Salleh Ghazali, Ketua Bidang Antar Lembaga/Instansi Bulan Sabit Merah Indonesia, Dr. Fuadi Yatim dan Setiausaha Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara, YBhg En Shariff B Hamid.

Majlis bermula tepat jam 7.50 petang dengan nyanyian lagu Negaraku oleh semua hadirin. Kemudian majlis dilanjutkan dengan ucapan daripada Pengerusi Kelab UMNO Jakarta (KUJ), saudara Mohd Rizal B Abd Rahman. diikuti ucapan daripada Pengarah JPMI, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar.

Selain menyentuh tentang kelebihan belajar di Indonesia yang memberikan banyak manfaat pendedahan secara praktikal kepada seluruh pelajar di sini, saudara Rizal turut mengajak rakan-rakan untuk memecahkan sifat suka berkelompok di kalangan pelajar Malaysia kerana ia boleh menjejaskan pelbagai faedah yang seharusnya didapatkan ketika belajar di luar negara.

Majlis diteruskan dengan ucapan YB Dato’ Ahmad Shabery B. Cheek sekaligus merasmikan Sekretariat Rakan Muda IPT Luar Negara.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Menteri Belia dan Sukan tersebut banyak mengupas tentang kepentingan bagi mahasiswa Malaysia yang berada di luar negara untuk bergaul mesra dengan penduduk tempatan serta menggalakkan kegiatan berpersatuan di kalangan pelajar yang disifatkan sebagai nilai tambah penting seiring dengan hasrat negara mengirim pelajar ke luar negara dengan harapan mereka dapat memanfaatkan segala ilmu "on and off campus".

Ini penting bagi menghasilkan pelajar cemerlang yang terbaik dan cekal, seterusnya bersedia untuk memain peranan penting dalam pembangunan negara kelak. Memanfaatkan ilmu bantuan kecemasan oleh PBSM Indonesia bagi membolehkan mereka bersedia dengan apa jua keadaan sebagai seorang doktor di Malaysia nanti merupakan salah satu yang turut disarankan oleh YB Menteri.

Setelah itu, acara dilanjutkan dengan upacara menandatangani MoU antara Sekretariat Rakan Muda IPT yang baru saja dilancarkan tersebut dengan Instansi Bulan Sabit Merah Indonesia. Program pertama Sekretariat Rakan Muda IPT Jakarta ini menunjukkan keseriusan terhadap sokongan bagi penubuhan Sekretariat tersebut. Turut diadakan tayangan slide berkenaan aktiviti pelajar dan PBSM Indonesia di lokasi gempa bumi, Pengalengan, Jawa Barat.

Majlis dilanjutkan dengan acara penyerahan cek bantuan dan bahan promosi Rakan Muda daripada Kementerian Belia & Sukan melalui menterinya YB Dato’ Ahmad Shabery B Cheek kepada Pengarah JPMI, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar dan Pengerusi KUJ, saudara Mohd Rizal Abd Rahman.

Tepat jam 9 malam, majlis dilanjutkan dengan acara jamuan makan malam, acara persembahan pelajar, majlis ramah mesra serta sesi fotografi bersama YB Dato’ Ahmad Shabery B Cheek dan ahli rombongan yang hadir.

Para Pelajar Jakarta yang terdiri dari ahli Kelab UMNO Jakarta dan PKPMI Jakarta melaungkan '1Malaysia' bersama YB Dato' Ahmad Shabery dan YB Dato' Seri Shahidan Kassim

0 comments: