Thursday, October 14, 2010

Sudut Kongsi :: Membina Perpaduan Teras Kejayaan

Posted by Majlis Tertinggi Kelab UMNO Jakarta |




Apabila membicarakan tentang mahasiswa sudah tentu kita membayangkan pelajar-pelajar yang sedang menuntut di sebuah Universiti. Pelajar-pelajar yang dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading adalah harapan kedua ibu bapa yang tidak boleh dipersiakan begitu sahaja. Sehubungan dengan itu, kehidupan di kampus Universiti haruslah dimanfaatkan sebaik mungkin oleh mahasiswa agar dapat mencorak kehidupan yang baik dimasa akan datang. Bagi melaksanakan matlamat itu, mahasiswa perlulah mewujudkan semangat setia kawan, saling membantu di antara satu dengan yang lain dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan teman-teman bagi memudahkan proses pembelajaran. Apa yang berlaku di kebanyakan kampus-kampus Univesiti, adalah sikap sebahagian besar mahasiswa yang suka atau hanya selesa dengan kelompok tertentu dalam pergaulan harian mereka.

Hal ini tampak sepele tapi ianya dapat memberikan kesan atau dampak yang besar sekiranya mahasiswa tidak mahu merubah diri mereka. Antara kesan negatifnya adalah pergaulan menjadi terbatas dan sempit, mengakibatkan proses pembelajaran dan penyampain ilmu serta kemahiran yang terbatas. Kampus adalah tempat untuk kita mencari ilmu dengan sebanyak-banyaknya dan meluaskan jaringan pergaulan sebaik mungkin untuk membantu kita dalam menjalankan kehidupan dalam komuniti masyarakat yang sebenar kelak. Saya secara individu menyarankan kepada rakan-rakan sekalian, janganlah kita membataskan pergaulan kita atas rasional sudah selesa dengan rakan yang kononya “satu kepala”, sebaiknya marilah kita menjalinkan persahabatan dengan rakan-rakan yang lain agar perpaduan yang kita bina ini dapat menjadi teras dalam kehidupan yang lebih berjaya di masa akan datang. Pepatah melayu sering menyebut bahawa bersatu kita teguh bercerai kita roboh.

Kampus ini bukan sahaja tempat untuk menimba ilmu tetapi tempat untuk kita melatih diri ini dalam suasana masyarakat sebenar suatu hari nanti. Betapa ruginya sekiranya peluang ini disiakan begitu sahaja, gunakanlah peluang ini sebaik-baiknya untuk membina masa depan yang cerah, InsyaALLAH. Bagi membina perpaduan yang kukuh dan harmoni, eloklah kita menjaga sensitiviti sesetengah pihak. Janganlah kita cemarikan kampus dengan budaya yang boleh merosakkan keharmonian kaum yang telah lama wujud. Pertahankanlah ia dan jadikan ini sebagai suatu kekuatan pada Negara tercinta, Malaysia. Binalah sikap saling membantu, bekerjasama dan bertolak ansur serta tidak mementingkan diri agar perpaduan yang terjalin lebih harmonis dan mapan. Di kampus ini, kita adalah sama iaitu mahasiswa. Tidak kira perbezaan kaum, latar belakang mahupun agama dan budaya. Kita adalah 1, rakyat Malaysia.

0 comments: