Tuesday, November 24, 2009

BPN INDONESIA

Posted by Majlis Tertinggi Kelab UMNO Jakarta |

Depan dari kiri:
Rizal Abd Rahman (Jakarta), Datuk Dr Junaidy (Pengarah MSD Indonesia), YAB Tan Sri Muhyiddin, Feendi Yap (Bandung), Hafiezulniezam Hasdin (Yogyakarta)

Belakang dari kiri:
Johari Jalil (Makassar), Safwan Abd Rahman (Surabaya), Asyraf Jamal (Palembang), Iqbal Azfar (Padang), Shafiq Ibrahim (Malang), Zaki Hj Alwi (Pekan Baru), Abd Aziz Ali (Jambi), Amir Farhan (Medan)


Mesyuarat Tertutup Badan Perhubungan Negara (BPN) Kelab UMNO Indonesia bersama YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia


Pada 20 hingga 22 November 2009, kesemua pengerusi dan wakil pengerusi dari 11 cawangan Kelab UMNO Indonesia telah menghadiri program TSM Charity Golf: Bandung Classic 2009 yang bertempat di kota Bandung, Jawa Barat. Program ini adalah antara program tahunan anjuran Badan Perhubungan Negara (BPN) Kelab UMNO Indonesia dan TSM Charity Golf.

Kesemua wakil cawangan yang hadir adalah saudara Mohd Feendi Yap (Pengerusi Kelab UMNO Bandung merangkap Pengerusi BPN Indonesia), saudara Rizal Abd Rahman (Pengerusi Kelab UMNO Jakarta & Setiausaha BPN), saudara Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin (Pengerusi Kelab UMNO Yogyakarta & Bendahari BPN), saudara Safwan Abd Rahman (Timbalan Pengerusi Kelab UMNO Surabaya), saudara Mohd Shafiq Ibrahim (Pengerusi Kelab UMNO Malang), saudara Johari Jalil (Pengerusi Kelab UMNO Makassar), saudara Amir Farhan (Timbalan Pengerusi Kelab UMNO Medan), saudara Zaki Hj Alwi (Pengerusi Kelab UMNO Pekan Baru), saudara Abdul Aziz Ali (Pengerusi Kelab UMNO Jambi), saudara Asyraf Mohamad Jamal (Pengerusi Kelab UMNO Palembang), dan saudara Iqbal Azfar (Pengerusi Kelab UMNO Padang).

Selain majlis penerimaan sumbangan untuk setiap cawangan dari TSM Charity Golf dan Makan Malam Perdana yang turut diadakan khusus bagi pelajar di Bandung, pengerusi-pengerusi Kelab UMNO Indonesia turut berpeluang untuk berbicara empat mata bersama Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan pengasas TSM Charity, YAB Tan Sri Dato' Seri Hj Muhyiddin B Hj Mohd Yassin dalam sebuah mesyuarat tertutup.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar, Setiausaha Politik Kepada Timbalan Perdana Menteri, Hj Yusoff Haniff, dan Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, En Feriz Omar.

Mesyuarat yang berlangsung lebih satu jam tersebut membincangkan pelbagai hal seperti isu semasa politik tanah air dan UMNO, visi misi gagasan 1Malaysia, serta turut menyentuh pelbagai isu terkini tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh para pelajar Malaysia di Indonesia.

Selain para pemimpin Kelab UMNO membahaskan soal keselamatan berkaitan hubungan bilateral dua negara Malaysia dan Indonesia yang kadangkala terguris, isu lain yang turut disentuh adalah masalah tidak konsistennya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam mengeluarkan sijil pengiktirafan bagi pelajar Pengajian Islam lulusan Indonesia, serta maklumat terkini tentang status pelajar Malaysia mangsa gempa bumi di Padang.

YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia turut memuji usaha yang dilakukan oleh kepemimpinan pelajar Malaysia di sini atas inisiatif penubuhan Persatuan Pelajar Malaysia-Indonesia yang dikirakan positif untuk mengarahkan hubungan baik dari peringkat dasar. Beliau turut berjanji akan membantu menjayakan program-program bersama pelajar Malaysia dan Indonesia yang bakal diatur oleh persatuan tersebut.

Sebagai tambahan, YAB Tan Sri Muhyiddin turut menjelaskan tentang kedudukan beberapa dasar kerajaan seperti pemansuhan PPSMI, dan misi YAB Perdana Menteri tentang gagasan 1Malaysia.

Mesyuarat tersebut di akhiri dengan sidang akhbar dan sesi fotografi.

0 comments: